Buat yang disayangi si jantung hati,
Warkah ini khas untukmu supaya engkau tahu hanya engkau yang sehingga kini memiliki hatiku, sebagai mana katamu engkau hanya mempunyai aku.
Buat si jantung hati, selama perkenalan kita, memang aku pernah meminati jejaka lain namun tak sehebat minatku padamu yang akhirnya mengutip bibit percintaan antara kita, melahirkan rindu yang teramat siksa dan hebatnya. Bersyukur kepada Tuhan, kerana aku dikurniai kamu.
Ketahuilah, cinta ini datang dariNya, tiada daya aku untuk melarang perasaan ini, kerana ia memang tercipta untuk menguji manusia, sama ada kita cekal atau tidak, maafkan aku jika dahulu aku mendustakan perasaan ini kerana aku lemah berhadapan kekecewaan. Kerana aku tahu kekecewaan adalah suatu yang dasyat dan menakutkan. kadangkala kerana kekecewaan yang teramat sangat sesuatu jiwa hidup tanpa hatinya.
Buat si jantung hati, fahamilah betapa dalamnya rinduku padamu,lebih teguh berbanding rindumu. Tabahkanlah hatimu, kerana perjalanan dan perjuangan kita masih jauh. Kita hanya mampu berdoa agar kita adalah milik kita.
Aku pernah berjanji dalam diriku, aku tidak kisah siapa diriku disisimu, kekasih atau teman biasa, tiada tempat ataupun ada, aku tetap akan menyokongmu, kerana engkau cintaku, aku ingin menghargai kamu, agar aku tidak menyesal taktala roh dan jasadku bercerai. Sekurang-kurangnya, aku puas dengan bantuanku.
Si jantung hati, Taktala engkau menangis kerana aku, aku juga turut merasai akan sakitnya perasaan itu, dan kau masih katakan itu salahmu, dan membiarkan beban yang berat diletakkan diatasmu. Perbuatanmu itu bukannya melegakan aku tetapi membuatkan aku terharu, dan ketahuilah, airmata ku menitis lebih daripada kamu, kerana aku seorang gadis, dan kau seorang perkasa.
Si jantung hati, Engkau telah bertekad untuk menggembirakan aku, walau sebenarnya aku berduka, kerana ku tahu tanpa gembiraku engkau tanpa gembiramu. Kita sebenarnya saling mendustakan duka untuk melihat kita gembira. Alangkah uniknya cinta.
Si jantung hati, Perkakahkanlah hidupmu dengan ilmu yang luas, pengetahuan agama yang menyeluruh, kerana kehidupan akhiratku terletak dibawah kaki seorang suami yang soleh. Ajarilah aku batas-batas yang sahih, agar aku fahami erti sebuah kehidupan, agar aku dapat mencari erti keimanan.
Si jantung hati, Malam ini kita menitiskan air mata lagi, atas kesilapan kita bermadah, maafkan aku yang tersalah bicara, tiada niat untuk melukakan hatimu, untuk menitiskan air matamu,lukamu adalah lukaku, walau jarak kita menjauh, aku merasakan pedih hatimu, dan aku masih berduka atas apa yang berlaku.
Si jantung hati, Andai tamat cinta kita disini, kuserahkan kenangan kita kepada kamu, terserahlah mahu menyimpannya atau tidak, kerana bagiku itu sudah menjadi milikmu. Kuingin memohon sribu kemaafan buat kamu sepanjang percintaan kita, maafkan aku yang telah mencuri hatimu, maafkan aku yang merampas rindumu, maafkan aku membuatkan air matamu menitis, maafkan aku di atas ketidak sempurnaan ku sebagai teman hidupmu.
Si jantung hati, perjalanan harus diteruskan, dalam hidup ini, ada jutaan hati yang boleh engkau miliki. Seandainya engkau masih ingin memilikiku, ikatlah hatiku, agar aku setia bersama hidupmu, menjadi coretan dalam diarimu agar aku bisa menjadi satu-satunya yang engkau perlukan bila saja engkau memerlukan.
Terima kasih kerana menjadi jantung hatiku.